Tuesday, November 20, 2007

Pangsapuri cipta sejarah27/06/2007 Berita Harian Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
Rumah Pangsa Seri Pinang muncul taman perumahan pertama tubuh Badan Pengurusan Bersama di SelangorSERI KEMBANGAN: Pangsapuri Seri Pinang dekat sini menjadi kawasan perumahan pertama di negara ini yang menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) selepas penguatkuasaan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) Akta 663, dilaksanakan di seluruh negara 12 April lalu.Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata penubuhan JMB itu bukan saja mencipta sejarah tersendiri untuk pangsapuri Seri Pinang dan Selangor malah turut membuktikan keupayaan pemaju melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.“Kita berbangga kerana negeri Selangor menjadi perintis kepada penubuhan JMB ini dan kita yakin pastinya JMB ini akan menjadi contoh kepada negeri lain di seluruh negara yang berhasrat mewujudkan JMB di negeri masing-masing.“Pada masa negeri lain masih kabur mengenai kewujudan JMB ini, kita di sini (Selangor) sudah merealisasikan penubuhan berkenaan,” katanya selepas merasmikan penubuhan JMB dan mesyuarat agung tahunan pertama Pangsapuri Seri Pinang di sini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong dan Pengarah Urusan Pernpark Development Sdn Bhd, Chang Yu Kee.Mohd Mokthar berkata, JMB adalah satu badan yang terdiri daripada pembeli dan pemaju yang bertanggungjawab untuk menyelenggara dan menguruskan harta bersama sehingga tiga bulan selepas mesyuarat agung pertama pengurusan bangunan (MC) diadakan.Beliau berkata, JMB akan melantik satu jawatankuasa iaitu, Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) yang terdiri daripada pemaju dan lima sehingga 12 pembeli untuk melaksanakan tugas dan kuasa JMB. Antara tugas dan kuasa utama JMB ialah menetap dan mengutip caj penyelenggaraan, mengurus kumpulan wang penyelenggaraan bangunan dan menguatkuasakan kaedah dalaman.“Ada satu badan yang akan bertindak sebagai memantau pengurusan JMB selepas ini supaya pengurusan baru ini lebih profesional,” katanya. Katanya, menerusi akta 663 itu, pemaju diwajibkan menubuhkan JMB dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh akta itu dikuatkuasakan sekiranya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi ke dalam petak siap dan penyerahan milikan kosong diserahkan kepada pemilik sebelum berkuatkuasanya akta 663.“Tidak lewat daripada 12 bulan daripada tarikh penyerahan milikan kosong bangunan kepada pembeli sekiranya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk pecahan bahagi ke dalam petak disiapkan pada atau selepas akta 663 berkuatkuasa,” katanya.Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian pemaju akan dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau penjara tiga bulan dan jika mereka gagal menyerahkan akuan yang sudah diaudit kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam tempoh enam bulan pemaju terbabit akan dikenakan RM100,000 atau penjara tiga bulan.“Pada dasarnya, kita tidak mahu pembeli dianiaya pemaju yang tidak bertanggungjawab dan Akta yang dikuatkuasakan ini akan melindungi mereka daripada terus dianiaya oleh pemaju. Sebelum ini bukan saja pembeli tiada hubungan terus sesama mereka malah nasib mereka juga langsung tidak dipedulikan pihak berkenaan,” katanya.

No comments: