Tuesday, October 14, 2008

Bersama Merenungi.

Saya tiada masalah!” Betulkah anda tidak bermasalah?

Ramai orang sebenarnya tidak menyedari mereka mempunyai masalah (termasuklah kami yang baru tersedar separa sedar :P). Apabila bercakap tentang kewangan, ramai menyangka bahawa mereka OK. No problem. Tiada masalah. Mana mungkin mereka menghadapi masalah sebab gaji sudah beribu-riban. Kalau ada masalah, mungkin pakcik makcik diluar sana yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Tetapi, betulkah tiada masalah? Mari kita periksa. Bayangkanlah tiba-tiba anda kemalangan atau jatuh sakit atau dibuang kerja atau ahli keluarga sakit dan memerlukan perbelanjaan besar untuk mengubatinya — apa keadaan kewangan anda pada ketika itu? Masih OK atau KO? Masih anda mampu membayar hutang rumah? Hutang kereta? Hutang TV flatscreen? Hutang kad kredit? dan segala hutang-hutang lain?

Hmmmm fikir! Tarik nafas, fikir dalam-dalam. Muhasabah diri.

Sorry, saya bukan hendak men’spoil’ mood anda hari ini. Saya cuma mengingatkan diri saya dan teman-teman agar menyedari hakikat betapa ‘fragile’ nya status kewangan kita. Kesedaran adalah langkah pertama untuk berubah. Tanpa menyedari kita bermasalah, kita tidak akan dapat berubah.

OK! Saya dah sedar. Apa saya patut buat?

Bagus, jika anda sedar sekarang dari kemudian. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Langkah pertama, senaraikan semua hutang-hutang anda beserta baki yang masih perlu dibayar, tempoh membayar dan interest kalau ada. Lihatlah betapa bijaknya kita berbelanja.

Langkah kedua, nilai kemampuan diri anda. Buat kira-kira tentang pendapatan anda dari semua sumber (mungkin ada yang ada kerja sampingan).

Langkah ketiga, buat bajet bulanan dan patuhinya.

Langkah keempat, mula menyimpan untuk tabung kecemasan. Banyak pendapat tentang berapa jumlah perlu disimpan. Ada pakar kewangan mencadangkan nilai bersamaan 3 bulan perbelanjaan. Ada pakar kewangan mencadangkan 6 bulan perbelanjaan. Namun bagi saya nilai tersebut bergantung kepada keselesaan dan juga risiko yang kita mungkin hadapi. Lagi tinggi risiko lagilah tinggi tabung kecemasan ini. Tabung kecemasan ini perlu disimpan ditempat yang mudah diambil dan tidak bergantung kepada turun naik pasaran kewangan. Jadi jangan silap, tabung kecemasan bukan pelaburan. Tabung kecemasan untuk mengatasi masalah-masalah yang anda hadapi tanpa perlu menganggu pelaburan-pelaburan anda yang lain.

Langkah kelima, elak dari berhutang dalam setiap perkara. Kalau boleh elak menggunakan kad kredit kerana ada kemungkinan terhutang atau berbelanja lebih. Untuk menjadi hutang sifar, tidak menambah hutang baru amat perlu. Kalau ada kecemasan, itulah gunanya tabung kecemasan seperti dilangkah keempat di atas.

Langkah keenam, tetapkan satu jumlah untuk menyimpan/melabur secara tetap setiap bulan. Mungkin 10-30% daripada pendapatan ditetapkan sebagai simpanan. Pastikan hutang-hutang dibayar mengikut masa dan elakkan diri daripada terkena caj lewat bayar dan lain-lain. Apa? Bayar hutang sahaja sudah habis gaji?? hmm dalam keadaan itu anda patut tanya kepada diri sendiri sama ada benda yang anda hutang tersebut amat perlu untuk diri anda. Mungkin ada memiliki 2 biji kereta yang masih ada hutang. Mungkin 1 kereta boleh dijual. “Alamak! Susahlah macam tu!” Ye, untuk berubah memang susah. Tapi itulah namanya pengorbanan. Bayangkan dulu masa mula-mula tiada kereta, OK je kan. Cuma kadang-kadang apabila sudah terbiasa senang, kita menjadi lebih manja.

OK, ini sebahagian daripada tips-tips untuk menjadi seorang yang hutang sifar. Saya akan sambung lagi dimasa hadapan. Mari kita sama-sama amalkan. Azam saya untuk menjadi hutang sifar dalam masa 2 tahun. Anda bagaimana?

No comments: